Wednesday, March 12, 2014

#PrayForMH370 dan #Pray4All


Assalamu'alaikum.

MH 370

Kehilangannya satu misteri,
terbentuk banyak teori,
meneka kemana ia pergi,
moga dijaga Ilahi.

Bila MH 370 hilang,
satu dunia bergegar,
bising,
mencari tempatnya dimana!

Dunia!
bukan Malaysia atau China semata-mata.

Televisyen menayang terus-menerus.
Pusat membeli-belah mengajak ramai berdoa.
Artis turut mengucap simpati.
Kencang dan hebat mengalahkan populariti Siti!

Namun,
bila Rakyat Syria dibunuh,
Presiden Mesir Morsi diguling,
Selatan Thai ditindas,
siapa peduli?

Mungkin dah bosan.
Asyik cerita sama.

Lain la MH 370.
Something new...

Kita semua diajak simpati,
berdoa dan memberi khabar gembira,
kepada keluarga mangsa.

Bersungguh-sungguh,
sampai Perdana Menteri sendiri memberi galakan.

Dari pimpinan atasan,
hingga bawahan,
ajak bersimpati dan empati.

Namun,
Syria berduka,
Mesir bergolak,
Palestina menangis,
Afrika menderita,
siapa yang tayangkan kisah mereka?

Allah!
Jagalah jiwa-jiwa kami.

Disamping doa kami buat MH 370,
kami juga menuturkan doa buat semua,
Rakyat Syria, Palestina, Mesir, Selatan Thai, Afrika,
dan lain-lain tempat...

Allahumma Ameen!

Saturday, February 22, 2014

Menjejaki Sahabat!



Bismillah...

Abdullah bin Jahsy...

Abu Huzhaifah bin Utbah...

Ka'ab bin Malik...

Wahsyi bint Harb...

Hindun bin Utbah...

Amr bin Ash...

Sehingga kepada anak ketua musuh Muslim,
Ikrimah bin Abi Jahal...

Mereka semua, pernah melakukan kesilapan dan kesalahan dalam kehidupan.
Mereka menangisi dan merasa ketakutan dengan dosa-dosa itu.
Mereka berdoa dan bertekad untuk mendapat syahadah.
Mengharap syahadah mampu membayar tebus kesalahan.

Menjejaki kisah-kisah sahabat,
ternyata mereka manusia yang juga punya dosa,
tersalah, tersilap, terkasar, terkutuk,
adat seorang manusia.

Namun, tekad mereka untuk menebus dosa-dosa itu,
kerana mereka malu untuk bertemu Allah dengan hati yang sakit.

Maka, mereka bangkit meninggalkan jahiliyyah,
membina kehidupan dengan kekuatan dalaman,
mencari pengakhiran yang baik untuk semua!

Mereka juga buat silap.
Mereka mengakuinya.

Kita?
Terus jatuh dan hancur dimamah dosa?
Atau memilih untuk bangkit?

Telusuri kisah-kisah Sahabat-sahabat ini,
yang hidup di Kurun terbaik!

Anda pasti teruja!

Kerana setiap kisah mereka, akan membuat kita lebih bersinar. Percayalah, dan bersinarlah!

Tuesday, February 18, 2014

Falsafah yang Hidup dan Menghidupkan!


Bismillah...

(Taubah: 100)

Selama 4 tahun belajar ilmu falsafah, timbul satu persoalan di benak kepala saya secara tidak sedar. "Manusia berterusan mencari nilai erti kehidupan yang sebenar. Penghujungnya mereka merangka pelbagai jenis teori yang kompleks. Sebahagian mereka bercakap tentang Tuhan. Namun, belum aku temui teori mereka yang jelas dan padu mengatakan bahawa Tuhan itu mengutuskan 'sesuatu' sebagai panduan manusia untuk mencari nilai erti kehidupan yang sebenar itu. Apakah Tuhan membiarkan manusia yang lemah ini berjalan di muka bumi tanpa panduan dari langit?"

Akibat dari persoalan ini, terkadang saya berasa bingung sehingga hampir berputus asa dalam mencari kebenaran dalam kehidupan yang kompleks ini. Saya terus berimaginasi dengan pelbagai visualisasi yang aneh-aneh tentang kebenaran. Namun, semuanya berakhir dengan kehambaran dan kesamaran yang tiada penghujung.

Hati meronta-ronta mencari pintu keluar, untuk mengapai cahaya ketenangan di balik bangunan yang carca merba ini. Doa dipohon pada Tuhan, agar dikuatkan hati untuk terus bersabar dan bertahan dalam kepedihan ini. Risau diri semakin membelok dan menjauh dariNya.

Lama kemudian, Allah mengilhamkan. "Sebaik-baik kurun adalah kurun ku (kurun Nabi bersama sahabat), kemudian kurun selepasnya (kurun Tabi'in), kemudian kurun selepasnya (kurun Tabi' Tabi'in)". Ini kata utusan Allah, Muhammad SAW.

Sejenak berhenti. Fikiran tertusuk pada bait-bait kalimah ini. Menarik nafas, kemudian menghembus. Mencari ketenangan, dalam keserabutan hati dan fikiran. "Sebaik-baik kurun?" Hati kecil memberontak.

Segala bagai teori untuk mencari kebenaran dan hakikat kehidupan mula tersebar pada akhir-akhir ini. Idea rationalisme, materialisme, empirisme, sains dan macam-macam lagi yang berakhir kepada reduksinisme yang melahirkan zaman Post-Modernism hari ini ternyata belum wujud pada zaman Muhammad SAW. Tetapi, mereka telah pun mencapai 'Sebaik-baik kurun'!?

Apakah pada zaman itu tidak wujudnya ilmu falsafah? Tiba-tiba terbayang pemikir-pemikir ulung Islam seperti Al-Ghazali dan Ibnu Taimiyyah kerana mereka dengan lantang menolak disiplin ilmu falsafah ini. Adakah benar ilmu falsafah ini tidak diperlukan? Haish...

Memejam mata. Fikiran terus berligat. Mencari jalan keluar kepada persoalan yang aneh ini. Sekali lagi menarik nafas dengan dalam, perlahan-lahan dilepaskan. "Falsafah mati lawan Falsafah hidup". Itu kesimpulan yang saya buat!

Falsafah mati ibarat kita hadir kepada mayat yang dah mati (er... dah nama mayat, memang sure la mati). Walau kita bekerja keras untuk memberi kebaikan kepadanya, dia tetap tidak bergerak dan tak akan mampu untuk memberi kebaikan pada diri sendiri, apatah lagi ingin menyumbangkan kebaikan kepada orang lain pula. Akhirnya, mereka yang berharap pada mayat yang mati ini, akan berakhir dengan putus asa kerana si mati tidak akan mampu memberi apa-apa faedah kepada mereka.

Berbeza falsafah hidup, yang mampu diibaratkan seperti si dia yang hidup. Kita akan memperoleh banyak kebaikan dari dirinya. Senyuman dan wajah cerianya, mampu menenangkan jiwa kita. Duit ekonomi yang dia miliki boleh menyelesaikan masalah-masalah kewangan kita. Ilmu yang ada padanya akan membimbing kita memahami apa yang kita jahil. Hatinya yang suci pula boleh menyelamatkan kita dari kematian hati. Itulah dia manusia yang hidup jasadnya, dan hidup pula jiwanya. Hanya jiwa yang hidup sahajat mampu menghidupkan jiwa yang mati.

Begitulah falsafah yang hidup. Hanya falsafah yang hidup sahaja mampu memberi penyelesaian dan penghidupan hati kepada manusia. Mampu memimpin dan membimbing manusia menuju cahaya kebahagian dan ketenangan. InsyaAllah...

Namun ...

TImbul pula persoalan yang baru, "Apakah dia falsafah yang hidup itu?"

Senyuman diukir di bibir. Alhamdulillah. Hanya 'sebaik-baik kurun' sahaja yang mempunyai falsafah yang hidup itu. Kerana manusia yang terbaik akan terlahir apabila mereka mempunyai falsafah yang terbaik, dan tidak dapat dinafikan lagi sebaik-baik falsafah adalah falsafah yang hidup dan menghidupkan.

Dengan bahasa mudah, falsafah yang hidup ini hanya mampu difahami dengan memahami cara hidup manusia pada kurun terbaik ini, kurun Nabi dan sahabat. Apakah sikap mereka sehingga mereka digelar sebaik-baik manusia? Bahkan, Tuhan meredai mereka dan mereka meredai Tuhan. Dan yang paling BEST, Tuhan mengiktiraf mereka bahawa mereka telah mencapai al-fauz al-'azdhim (Kejayaan yang Agung)!

"Dan orang-orang awal yang pertama-tama (menyerah diri pada Allah) daripada golongan Muhajirin dan Ansar dan mereka yang mengikuti mereka dengan ihsan (baik), Allah telah meredai mereka dan mereka meredai Allah. Dan Allah telah menjanjikan mereka Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang Agung!" (al-Taubah: 100)

Maka dengan itu, saya cuba sebaik mungkin untuk mendalami sebaik-baik falsafah ini, walau saya tahu bahawa saya telah mensia-siakan 4 tahun untuk mempelajari falsafah yang mati tanpa memerhatikan falsafah ini dengan baik.

Saya berharap, Allah mengampuni dosa-dosa kita semua. Allahumma Amiin.

Maka hari ini, saya meletakkan syarat baru untuk bersinar, iaitu mempelajari falsafah yang hidup ini, sebaik-baik falsafah. Mereka yang malas-malas, tidak mungkin mencapai sinaran yang terindah dan terbaik.

Iqro' bismi Rabbika l-lazi kholaq, kemudian bersinarlah!