Tuesday, October 22, 2013

Ikhwah itu sungguh luar biasa!

Kerana dia, dunia bersinar! (sumber)

Sedang asyik membaca mesej-mesej di Whatsapp!, tiba-tiba terdengar bunyi percikan air hujan, deringan bunyi mesej personal masuk kedalam Whatsapp! saya.
"Enta demam ke akhi? dah 2 hari takde kat masjid, subuh"
Saya diam. Tidak tahu untuk membalasnya. Kemudian, saya menekan punat untuk mencari nama-nama ikhwah lain. Antara banyak-banyak nama, saya memilih seorang ikhwah, dan terus menghantar mesej untuknya:
(Berilah) nasihat buat diri
Saya tinggalkan henset di atas meja. Mengambil tuala, dan terus ke bilik air untuk membasahkan badan sebelum ke kelas sesi pagi itu.

Sepanjang tempoh itu, tergiang-ngiang di kepala tentang mesej personal ikhwah itu. Ikhwah itu sungguh luar biasa! Bukan sahaja dia mengambil kisah tentang keuzuran diri saya ini, tetapi dia mampu menghitung secara tepat bilangan hari. Masya Allah.

Hanya orang yang selalu menghadirkan diri ke masjid pada waktu Subuh, mampu mengira secara tepat bilangan hari ikhwah-ikhwah yang uzur ke masjid. Kalau tidak, tentu dia tidak tahu berapa hari saya uzur.

Bertuah kerana dapat berkenalan orang sehebat itu. Antara nikmat terbesar yang Allah anugerahkan buat seorang hamba adalah dihadirkan buatnya sahabat yang soleh lagi hampir kepada Allah. Hanya manusia yang hampir kepada Allah, akan mampu untuk melazimi ke masjid untuk Subuh berjemaah. Allahu Akbar!

Selesai membersihkan diri, saya terus mencapai henset untuk melihat respon ikhwah itu. Dia membalas:
Antara 2 perkara yang ada pada diri Rasulullah adalah Rahmah wa Hikmah, ana lihat... 2 perkara ini ada pada anta... jangan hilangkan 2 perkara ini...
Saya diam, dan tersenyum. Saya kembali membaca mesej yang awal yang saya terima, dan dengan penuh keyakinan, saya membalas:
Mungkin hati ana yang demam. Sedang mengubatinya. :-)
Hati saya lega, dan mendapat semangat dan azam baru. Azam untuk solat Subuh di masjid, untuk bertemu dengan ikhwah luar biasa ini! Sungguh, ini satu kenikmatan yang luar biasa! InsyaAllah.

[ NOTA SEORANG IKHWAH ]

----------------------

Berjalan kaki ke masjid untuk bersolat Subuh jemaah, adalah satu ciri-ciri orang yang bersinar! Keluarlah dan Bersinarlah!

*p/s: Idea tidak banyak. Tidak mampu 'membungakan' bahasa. Sudah lama tidak mengarya. InsyaAllah, boleh terus menulis lagi selepas ini.

Thursday, October 17, 2013

Bercita-citalah!

(sumber)

Saya mempercayai,
suatu hari nanti,
Dunia ini akan bersinar!

Bersinar dengan kebaikan,
bersinar dengan kasih-sayang,
bersinar dengan keceriaan,
bersinar dengan senyuman.

Dan ketahuilah bahawa,
dunia ini akan bersinar,
apabila para pemuda pemudi sudah bersinar!

Mengungkap untuk bersinar itu mudah,
tidak sesukar untuk betul-betul bersinar!

Namun tetap,
sebelum kita bersinar,
yang petama-tama ialah,
bercita-cita untuk bersinar!

Maka,
bercita-citalah,
dan Bersinarlah!

Tuesday, September 17, 2013

Menonjollah!

(sumber)
Kita semua manusia,
semua hamba Allah.
Tiada yang terlebih,
dan tidak pula berkurang.

Namun,
dalam sekelompok manusia,
ada yang sedikit tertonjol,
dan yang lainnya tersembunyi.

Yang agak terserlah,
wajahnya dipandang ramai,
suaranya didengari kawan,
gerakannya digeruni lawan.

Yang pendiam,
entah dia dimana,
tiada yang mengetahui kewujudannya,
bahkan namanya sering dilupakan.

Begitulah kita di sisi Allah.

Ramai-ramai kita,
ada yang disebut-sebut Allah,
segala kebaikan yang dilakukannya,
dengan penuh Cinta.

Sebahagian yang lain,
langsung tidak diendah,
kerana tiada apa-apa yang istimewa,
tentang si dia itu.

Di mana kah kita,
di sisi Allah?
Menonjollah di sisiNya,
dan Bersinarlah!

Tuesday, August 27, 2013

Bersinarlah!

(sumber)

Wahai pemuda,

Dunia terus berputar,
meninggalkan mereka yang lambat.

Masa terus berjalan,
memimpin mereka yang bersungguh.

Kehidupan terus membesar,
membina mereka yang mahu.

Merancanglah untuk masa hadapan,
Menujulah sinaran kebenaran,
dan Bersinarlah!